Apa Sebenarnya Tugas Utama Bank Pusat Di Sesebuah Negara?

0 620

Dalam artikel ini kita akan melihat secara terperinci apa yang dilakukan oleh majlis mesyuarat bank pusat. Ini akan membantu anda untuk memahami bagaimana kebanyakan bank pusat menetapkan polisi monetari yang mengawal pasaran kewangan di sesebuah negara.

Sebagai seorang pelabur atau pedagang runcit di pasaran saham, antara kajian yang dilakukan adalah tindakan dan pendirian semasa bank pusat. Hal ini kerana tindakan bank pusat memberi kesan langsung kepada pasaran matawang termasuk saham, bon dan matawang.

 

Apa itu Polisi Monetari?

Sebelum itu penting bagi anda untuk memahami apa itu polisi monetari. Polisi monetari adalah tindakan bank pusat yang menetapkan saiz dan pertumbuhan penawaran wang yang akan memberi kesan kepada kadar faedah. Polisi monetari digunakan dengan mengubah kadar faedah, membeli atau menjual bon kerajaan dan penetapan amaun wang yang perlu disimpan oleh bank sebagai rizab.

 

Contoh bank pusat yang mengawal polisi monetari ialah Bank Negara Malaysia dan The Federal Reserve di AS ataupun selalu disebut sebagai The Fed.

 

Ada dua jenis polisi monetari iaitu pelonggaran (easing) dan pengetatan (tightening). Pelonggaran polisi monetari meningkatkan penawaran wang atau jumlah wang yang ada di dalam ekonomi untuk menurunkan pengangguran, merancakkan pinjaman sektor swasta dan perbelanjaan pengguna untuk menstabilkan pertumbuhan ekonomi.

 

Manakala pengetatan polisi monetari akan mengurangkan pertumbuhan penawaran wang atau jumlah wang di dalam ekonomi bagi mengawal inflasi. Kerana dalam keadaan ekonomi yang meningkat dengan cepat biasanya memberi risiko meningkatnya inflasi yang tidak terkawal. Maknanya di sini walaupun pertumbuhan ekonomi naik begitu cepat, harga barang juga boleh meningkat ke paras yang tinggi.

 

Oleh itu, bank pusat akan mengurangkan jumlah wang di dalam ekonomi menggunakan polisis pengetatan untuk menstabilkan semula ekonomi ke tahap optimum. Contohnya yang berlaku kepada AS pada tahun 1980 bila mana inflasi meningkat ke paras 15% dan apa yang dilakukan oleh The Fed ialah menaikkan kadar faedahnya (Fed Fund Rate) ke paras 20%. Usaha ini menyebabkan AS mengalami kemelesetan tetapi dapat menurunkan semula kadar inflasi.

 

Ini adalah satu usaha The Federal Reserve untuk menstabilkan semula ekonomi AS. Selalunya apabila ekonomi meningkat terlalu tinggi akan menyebabkan inflasi turut meningkat. Inilah yang dilakukan oleh bank pusat AS dengan menaikkan kadar faedahnya bagi mengurangkan semula aktiviti dalam ekonomi yang menyebabkan kadar inflasi turun semula.

 

Instrumen atau Alat Polisi Yang Digunakan Oleh Bank Pusat

Dalam polisi monetari (kewangan) bank pusat mempunyai tiga instrumen untuk memastikan matlamat kestabilan pasaran kewangan dapat dicapai. Namun dalam artikel kali ini kita hanya akan membincangkan satu sahaja instrumen iaitu ‘Open Market Operation’.

 

Open market operation (OMO) atau dalam bahasa melayu ‘Operasi pasaran terbuka’ ialah tindakan dimana bank pusat membeli dan menjual bon-bon kerajaan.

 

Operasi pasaran terbuka melibatkan pembelian dan penjualan surat-surat jaminan kerajaan (bon) melalui bank pusat. Tujuan utama operasi pasaran terbuka ialah mengawal jumlah kredit dalam negara. Pada ketika harga barang terlalu tinggi (inflasi) bank pusat akan campur tangan untuk mengurangkan kegiatan ekonomi yang berlebihan.

 

Melalui operasi pasaran terbuka, bank pusat akan menjual bon (surat-surat jaminan) kepada bank perdagangan (Maybank, CIMB, dll) dan orang ramai.

 

Contohnya, Maybank mahu membeli bon yang dijual oleh bank pusat. Oleh itu Maybank perlu membayar kepada bank pusat harga bon itu. Bon ini boleh ditebus pada harga diskaun selepas 5, 10 atau 30 tahun bergantung kepada tempoh matangnya dengan kadar faedah setiap tahun.

 

Dengan berbuat demikian, simpanan semasa penduduk dan rizab yang dipegang oleh bank-bank perdagangan akan berkurangan. Simpanan atau tunai di tangan yang berkurang menyebabkan perbelanjaan domestik jatuh dan bank-bank ini tiada tunai yang mencukupi untuk dipinjamkan kerana telah digunakan untuk membeli bon.

 

Perbelanjaan domestik jatuh akan menyebabkan inflasi berkurangan dan ekonomi bergerak perlahan ke tahap optimum.

 

Contoh seterusnya, andaikan Zon-Eropah sedang mengalami kegawatan ekonomi yang mana pertumbuhan ekonomi ialah 0.5% di bawah jangkaan asal iaitu 2% dan juga kadar pengangguran yang meningkat. Bank pusat mahu menaikkan semula pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan pengangguran. Oleh itu Bank pusat boleh menggunakan OMO untuk mencapai tujuannya.

 

Bank pusat boleh meningkatkan penawaran wang di dalam ekonomi untuk merancakkan semula aktiviti ekonomi seperti pelaburan dan perbelanjaan domestik. Bagi meningkatkan penawaran wang, Bank pusat boleh membuat OMO dengan membeli bon dari pihak swasta yang menyebabkan penawaran wang meningkat dalam ekonomi.

 

Penawaran wang bertambah di mana orang ramai lebih mudah untuk membuat pinjaman dengan kos yang rendah.

 

Orang ramai mempunyai tunai untuk digunakan membeli-belah ataupun untuk tujuan perniagaan. Apabila orang ramai berbelanja di dalam ekonomi bertambah, perniagaan pun akan mendapat keuntungan seterusnya perniagaan ini mungkin akan mengembangkan perniagaan dan memerlukan lebih ramai pekerja.

 

Apabila firma-firma ini menambahkan pekerja akan berkuranglah kadar pengangguran di dalam ekonomi. Firma-firma ini pula berkembang dan akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang positif kepada sesebuah negara. Begitulah cara bank pusat menstabilkan pasaran kewangan dengan menggunakan alatan yang ada dalam polisi monetari.

Nak Tahu Tentang Forex, Saham dan Pasaran Kewangan?
Sertai bersama lebih 20,000 subscriber VIP yang menerima tips-tips premium tentang forex trading dan pasaran kewangan setiap minggu.
Anda boleh berhenti melanggan bila-bila masa