Share This Post

Analisa Fundamental / Semua Tentang EMAS

GOLD Analisa Fundamental Harian 6 April 2016

GOLD Analisa Fundamental Harian 6 April 2016

Harga emas melonjak lebih $21.65/oz Selasa semalam, untuk ke paras tertinggi harian sekitar $1,236.80/oz sebelum susut untuk menutup lebih rendah sekitar paras $1,231.10; setelah para pelabur mencari dagangan ‘safe-haven’ ekoran harga minyak yang terus merudum. Kemelut pasaran pada bulan Januari lalu, telah membawa pelabur untuk mencari aset selamat lain seperti emas. Sejak mencapai puncak pada Disember 2012, pegangan dalam produk dagangan bursa yang disokong oleh logam berharga telah melihat aliran keluar yang berterusan.

Keruntuhan kadar global di mana bertrilion Dollar hutang kerajaan sekarang memberikan pulangan kurang daripada sifar, membantu mencetuskan lonjakan utama kembali ke dalam ETF. Oleh itu, suku pertama 2016 menyaksikan peningkatan dalam jumlah pegangan melebihi 300 tan emas. Aliran masuk sebesar ini ke dalam ETF emas telah melebihi pada suku pertama 2009 apabila FOMC (Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan) Federal Reserve AS memperkenalkan pelonggaran kuantitatif selepas krisis kewangan pada tahun 2008.

Dengan harga emas yang semakin meningkat pada kadar yang tinggi, bagaimanapun, sesetengah pihak membuat spekulasi bahawa kenaikan logam berharga itu sudah berakhir, terutama kerana “kedudukan spekulatif.” Bagaimanapun, Georgette Boele, penyelaras pertukaran asing dan strategi logam berharga di ABN Amro menyatakan dalam nota terbaru beliau bahawa dia tidak berkongsi kebimbangan ini.

Natasha Kaneva dari Morgan Stanley pula, sedikit yakin dengan emas kerana beliau melihat selera global terhadap risiko yang semakin sederhana, yang merupakan pemacu utama bagi komoditi itu. “Sepanjang 2016, kami mengekalkan ramalan harga kami pada $1,200/oz pada 3Q16 dan $1,250 pada 4Q16 kerana dua sebab. Pertama, risiko makroekonomi telah berubah. Walaupun risiko masih condong ke bawah, kebimbangan telah jelas berkurangan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sekaligus mengeluarkan salah satu daripada sokongan untuk memiliki emas.” menurut beliau.

Kedua, Puan Kaneva melihat kontrak belian lama telah menjadi terlalu penuh sesak – yang bermaksud terlalu ramai pelabur telah membeli emas dan oleh itu pasaran kini bersedia untuk menghayun ke arah yang lain. “Risiko makro yang berkurangan telah digambarkan dalam kedudukan pasaran. Walaupun pengurus dana terus meningkatkan kedudukan belian bersih mereka, kadar itu semakin perlahan. Belian bersih pengurus wang dana kini pada 16.2 juta oz – melebihi 11.5 juta oz purata belian bersih sejak Jun 2006 – sekaligus membayangkan bahawa pasaran telah  terlebih beli berbanding norma sejarah, dan ini mencadangkan bahawa tidak banyak ruang untuk belian seterusnya,” tambah beliau lagi.

Di samping itu, beliau melihat lebih banyak kenaikan untuk Dollar – sekurang-kurangnya dalam jangka masa pendek dengan Dollar kembali melawat paras tertinggi pada Januari lalu, terkesan dari hasil kenaikan kadar Federal Reserve pada masa itu. Kerana ukuran standard bagi nilai emas adalah dalam Dollar AS, maka kenaikan nilai Dollar akan memberi tekanan kepada harga komoditi tersebut melainkan jika nilai asasnya juga meningkat. Puan Kaneva melihat tidak banyak kemungkinan bahawa nilai asas emas telah meningkat, memandangkan bekalan terus meningkat dengan mantap dan kos pengeluaran terus jatuh.

Share This Post

Profile photo of Team Moshed
Membawakan Berita dan Info terkini tentang Ekonomi Global dalam Bahasa Lokal

Lost Password

Register