Kenapa Bursa Malaysia Melonjak Positif Pada Hari Ini? Sebab Cuti Umum 2 Hari?

0 2,360

Pilihanraya umum seringkali menyebabkan ketidaktentuan (uncertainty) kepada pasaran kewangan yang termasuk pasaran saham, matawang dan bon. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita menyaksikan beberapa pilihanraya umum penting khususnya pada 2016 di Amerika Syarikat dan pilihanraya UK pada 2017. Dalam tempoh itu juga pasaran kewangan mereka terutamanya saham banyak terkesan disebabkan ketidaktentuan ini.

Malaysia juga tidak terkecuali yang mana baru sahaja memilih kerajaan baru pada minggu lalu. Sudah tentu, sebagai pemerhati pasaran, kita cenderung melihat prestasi Ringgit dan saham tempatan sebagai kayu ukur prestasi ekonomi. Oleh itu, ramai pemerhati tempatan dan global fokus kepada apa yang berlaku kepada pasaran saham Malaysia pada hari ini.

Untuk pengetahuan anda, selepas pasaran Malaysia ditutup pukul 5 petang pada Isnin, Indeks Komposit Kuala Lumpur ditutup lebih tinggi sebanyak 0.21%. Pada awalnya penanda aras saham Malaysia ini membuat penurunan ke paras terendah hampir 1,800 mata pada sesi dagangan awal sebelum membuat lonjakan ke paras tertinggi 1,875 mata.

Dalam pasaran kewangan global, perubahan kerajaan biasanya akan menyebabkan ketidaktentuan (uncertainty) kepada pasaran. Ketidaktentuan ini pula akan menyebabkan kejatuhan pasaran saham atau matawang negara itu. Hal ini disebabkan sikap pelabur yang tidak suka kepada ketidakpastian kepada ekonomi negara tersebut yang boleh memberi risiko kepada pelaburan mereka. Dalam konteks Malaysia pada hari ini, perubahan kerajaan akan menyebabkan polisi kerajaan berubah yang mana akan memberi kesan kepada pelaburan di Malaysia. Hal ini lah yang tidak disukai oleh pelabur.

Namun, apa yang kita lihat pada hari ini adalah prestasi positif pasaran saham Malaysia yang ditunjukkan oleh kenaikan positif Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI). Kenapa pula indeks saham ini meningkat, bukankah perubahan kerajaan memberi ketakpastian kepada pasaran? Ada tiga perkara penting yang membuatkan pasaran saham positif pada Isnin, iaitu Pakatan Harapan yang dilihat lebih telus, janji perdana menteri untuk memulihkan ekonomi dan juga cuti umum dua hari selepas pilihanraya pada 10 dan 11 Mei.

Ini tiga sebab kenaikan saham Malaysia pasca pilihanraya

Pertama, kerajaan Pakatan Harapan dilihat lebih telus dalam menerajui kerajaan Malaysia, khususnya apabila kerajaan Barisan Nasional yang memerintah sebelum ini dikaitkan dengan pelbagai tuduhan rasuah dan salahguna kuasa yang termasuk isu 1MDB, FELDA dan sebagainya. Pelabur mengambil kira perkara-perkara ini sebelum mengambil keputusan untuk melabur di sesebuah negara khususnya dari segi kestabilan ekonomi yang dilihat Malaysia berpotensi menjadi lebih baik di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Kedua, janji Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir yang mahu membawa semula dana-dana 1MDB yang disita dan dirampas di luar negara. Ini memberi satu harapan di mana Malaysia mungkin akan mendapat semula sebahagian daripada dana tersebut, sekaligus mengurangkan risiko hutang kepada negara.

Ketiga, cuti umum pada Khamis dan Jumaat telah meredakan sentimen pasaran terhadap ekonomi Malaysia selepas pilihanraya. Jika pasaran dibuka pada hari Khamis, berkemungkinan kita akan melihat pergerakan pasaran yang lebih volatile (turun-naik) sejurus selepas pilihanraya berakhir dalam tempoh beberapa jam. Hal ini disebabkan banyak isu yang mungkin dilihat masih samar oleh pelabur khususnya dari segi barisan kepimpinan, lebih-lebih lagi situasi kerajaan di beberapa negeri yang masih tergantung. Ini semua adalah ketidaktentuan (uncertainty) kepada pasaran yang tidak digemari oleh pelabur-pelabur.

Oleh itu, tindakan memberikan cuti selama dua hari dan bersambung pada Sabtu dan Ahad selepas pilihanraya umum berjaya meredakan sentimen pelabur dalam tempoh tersebut. Tempoh cuti selama empat hari itu juga dilihat telah digunakan oleh kerajaan baru di bawah pimpinan Tun Mahathir untuk menyelesaikan beberapa isu dalam kerajaan baru sekaligus telah menyumbang sentimen positif kepada pelabur terhadap pasaran kewangan di Malaysia secara keseluruhan, khususnya pasaran saham.

Langgan Newsletter dari Moshed.com
Langgan segera untuk mendapatkan kemaskini terkini dan "special offer" yang akan terus dihantar ke e-mel anda.
Anda boleh berhenti melanggan bila-bila masa