Kes Penipuan Forex GWGFX dan Bitkingdom Oleh Individu Bergelar Datuk

0 2,381

Pemilik syarikat produksi bergelar Datuk ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes penipuan pelaburan Global Wave Gold Forex (GWGFX) dan Bitcoin Bitkingdom, melibatkan 23 laporan polis dengan jumlah kerugian sebanyak RM13.9 juta.

Menurut sumber, suspek yang berusia 35 tahun itu telah ditahan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Urus Setia Ketua Polis Negara (AMLA) di Menara 238, Jalan Tun Razak kira-kira 5.30 petang kelmarin.

Permohonan reman bagi suspek akan dilakukan jam 10 pagi ini.

Suspek merupakan seorang pemilik sebuah syarikat produksi yang pernah bekerjasama dalam pembikinan sebuah filem terkenal tempatan.

Penahanan suspek itu susulan laporan penipuan pelaburan oleh seorang wanita berusia 47 tahun. Menurut laporan, mangsa telah berkenalan dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Datuk pada awal September 2014.

Mangsa telah ditawarkan untuk menyertai satu skim pelaburan di mana skim tersebut didakwa mampu memberi keuntungan berlipat ganda kepada mangsanya.

Bagaimanapun, mangsa menyedari dirinya tertipu selepas tidak memperoleh sebarang bayaran keuntungan seperti yang dijanjikan lalu membuat laporan polis di Balai Polis Kajang pada 2 Nov tahun lepas.

– Bernama

Langgan Newsletter dari Moshed.com
Langgan segera untuk mendapatkan kemaskini terkini dan "special offer" yang akan terus dihantar ke e-mel anda.
Anda boleh berhenti melanggan bila-bila masa