Maxis & Astro Dijangka Bergabung Untuk Mendepani Persaingan Sengit – Sumber

0 1,061

T. Ananda Krishnan, pemegang tunggal terbesar saham Maxis Berhad dan Astro Malaysia Holdings Berhad dilihat sedang mempertimbangkan penggabungan kedua-dua entiti tersebut dalam mendepani perubahan lanskap teknologi dan media di Malaysia.

Ananda memegang kedua-dua entiti tersebut melalui syarikat Usaha Tegas Sdn Bhd sedang berusaha untuk mengukuhkan kedudukannya sejajar dengan persaingan yang semakin meningkat.

“Trend global ketika ini adalah penggabungan syarikat yang mampu menyediakan sambungan dan penyediaan konten kepada pengguna. Ia berlaku di mana-mana dan Usaha Tegas dalam kedudukan terbaik untuk mengambil peluang itu,” kata sumber.

Ananda adalah seorang ahli perniagaan yang bijak membaca trend khususnya dalam industri teknologi. Beliau sudah tentu melihat persaingan kini semakin tinggi terhadap kedua-dua syarikat yang dipegangnya Astro dan Maxis.

“Harga Broadband tidak akan meningkat kerana kedua-dua kerajaan lama dan baru mahukan internet yang lebih pantas pada harga rendah.

“Bagi Astro, ia berhadapan dengan persaingan dari segala sudut. Terdapat perkhidmatan satelit haram yang disediakan dari operator negara lain. Selain itu, Astro juga berhadapan dengan persaingan dari penyedia perkhidmatan ‘over the top’ (OTT) yang menyediakan konten pada kadar bayaran yang rendah,” demikian kata sumber.

Antara OTT menonjol adalah Netflix yang kebanyakannya menyiarkan filem-filem barat termasuk konten dari negara Korea Selatan dan Thailand.

Penganalisis berkata, beliau tidak terkejut jika Ananda menggunakan Maxis untuk mengambil alih Astro.

Ia sama seperti yang dilakukan oleh syarikat-syarikat penyiaran dan penyedia sambungan internet di Amerika Syarikat. Terdapat gabungan antara syarikat telekomunikasi dan syarikat penyiaran antaranya pengambil-alihan Time Warner oleh AT&T yang berjumlah RM240 billion.

Astro dilihat wajar bergabung dengan Maxis apabila persaingan dijangka semakin meningkat terutamanya daripada RTM sendiri. Pihak kerajaan sendiri telah berikrar untuk menamatkan monopoli mana-mana syarikat. Terbaru, TNB juga telah menjalankan ‘pilot project’ mereka untuk menyediakan perkhidmatan broadband yang dijangka menjadi pesaing utama kepada Telekom Malaysia.

Langgan Newsletter dari Moshed.com
Langgan segera untuk mendapatkan kemaskini terkini dan "special offer" yang akan terus dihantar ke e-mel anda.
Anda boleh berhenti melanggan bila-bila masa