Persediaan Yang Perlu Dibuat Sebelum Mula Melabur Dalam Pasaran Saham

0 678

Saya sering menerima soalan bagaimana untuk mula berdagang dalam saham? Pertama sekali tahniah jika anda sudah mula berfikir mengenai pelaburan kerana tidak ramai yang mempunyai pemikiran jangka masa panjang untuk ‘membiakkan’ melalui pelaburan terutamanya dalam pasaran saham.

Untuk mula berdagang dalam saham, semestinya anda perlukan akaun CDS dan akaun trading dari broker terlebih dahulu. Yang keduanya, anda memerlukan modal. Antara kesilapan utama para pelabur ataupun pedagang saham ialah mereka tidak mempunyai simpanan asas.

Sediakan simpanan asas kecemasan

Terdapat 7 fasa pengurusan kewangan peribadi bermula dengan pendapatan (income), simpanan (saving), perbelanjaan (expenses), perlindungan (protection), pelaburan (investment), penyucian (purification) dan perwarisan (distribution).

Sebaiknya, sebelum anda mula melabur dalam mana-mana instrumen pelaburan, simpanan asas kecemasan adalah perkara utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Kebiasannya, pakar kewangan akan menyarankan untuk mempunyai simpanan kecemasan 3 bulan pendapatan.

Ini adalah saranan minimum. Jika anda sudah mencapai jumlah simpanan selama 3 bulan, gandakan pula kepada 6, 12, 18, 24 dan maksima 36 bulan.  Perlu diingatkan, duit simpanan kecemasan tu tak boleh diganggu atau digunakan untuk tujuan lain.

Kat mana nak simpan duit tabung kecemasan?

Duit simpanan tabung kecemasan perlu disimpan di tempat yang mudah cair dan tidak terdedah kepada risiko. Jadi pilihan yang ada sama ada disimpan dalam Tabung Haji, ASB atau fixed deposit. Elakkan simpan dalam akaun simpanan biasa. Ini kerana akaun simpanan bank biasa tidak memberikan dividen atau faedah yang kompetitif.

Dalam pelaburan, terdapat istilah Real Rate of Return (ROR) yang merujuk kepada kadar pulangan pelaburan setelah mengambil kira faktor inflasi. Secara purata, kadar inflasi tahunan negara adalah dalam kadar 3%.

Sebagai contoh, jika anda menyimpan dalam Tabung Haji yang memberi pulangan dividen tahunan 6% dan kadar inflasi semasa negara sebanyak 3%, pulangan sebenar (ROR) anda sebenarnya hanya 3%. Jadi jika anda menyimpan dalam akaun simpanan biasa yang memberi pulangan tahunan sekitar 1%, nilai wang anda semakin mengecil kerana ROR anda adalah sebanyak -2% (1%-3% = -2%). Tanpa disedari, anda sebenarnya sedang mengalami kerugian!

Sediakan simpanan untuk perlindungan

Selain dari simpanan kecemasan, prioriti seterusnya adalah simpanan untuk perlindungan. Kebanyakan rakyat Malaysia masih lagi skeptikal dengan produk berkaitan insurans dan takaful. Perlu diingatkan, fungsi utama insurans dan takaful adalah untuk perlindungan kewangan . Ia adalah alat untuk mencipta aset segera apabila berlaku musibah dalam kehidupan seperti kematian, kemalangan, lumpuh, sakit kritikal dan masuk hospital.

Tuan Afyan, seorang ejen Takaful menyatakan bahawa kesilapan kebanyakan orang apabila mereka melanggan insurans atau takaful untuk simpanan dan pelaburan. Contoh-contoh produk takaful yang ada dalam pasaran yang seumpama ini ialah takaful untuk persaraan, takaful untuk dana pendidikan anak, takaful untuk dana menunaikan haji dan banyak lagi.

Takaful ialah produk institusi kewangan, yang dicipta oleh organisasi bisnes dan sudah tentu untuk keuntungan pengeluar produk. Jadi pilih produk yang betul untuk tujuan yang betul. Jika tidak hanya menguntungkan satu pihak sahaja.

Tabung untuk pelaburan

Setelah anda mempunyai kedua-dua simpanan tabungan kecemasan dan perlindungan, kini masa yang sesuai untuk anda fokus agar wang pula bekerja untuk anda iaitu melalui pelaburan. Antara faktor terbesar yang membezakan trader yang selalui mengalami kerugian dan yang berjaya mencipta keuntungan secara konsisten ialah mereka berjaya mengawal emosi dalam urus niaga saham.

Tamak dan takut rugi adalah faktor emosi terbesar yang menghalang trader untuk fokus dalam aktiviti trading. Apabila anda mempunyai asas kewangan yang kukuh (simpanan kecemasan yang cukup dan mempunyai perlindungan takaful) secara tidak langsung dapat membantu mengawal emosi kerana anda tidak rasa tertekan atau terdesak untuk membuat keuntungan.

Kebanyakan orang mengambil mudah akan pengurusan kewangan (money management). Mereka terlupa bahawa untuk berjaya dalam trading, ia merupakan kombinasi antara pengurusan psikologi, trading plan, pengurusan risiko dan money management.

Jika anda masih baru dalam perdagangan saham ataupun sudah lama trade tapi sering mengalami kerugian, berhenti sekita dan fokus untuk menambah baik asas kewangan anda terlebih dahulu.

Nak Tahu Tentang Forex, Saham dan Pasaran Kewangan?
Sertai bersama lebih 20,000 subscriber VIP yang menerima tips-tips premium tentang forex trading dan pasaran kewangan setiap minggu.
Anda boleh berhenti melanggan bila-bila masa