Ringgit Menguat Sehingga MelepasI Paras Harga RM4.00, Kini 1USD = RM3.99

0 336

Ringgit Malaysia mengukuh ke paras yang lebih meyakinkan pada Jumaat berbanding US dolar. Ringgit berjaya mencapai paras tertinggi Ogos 2016 yang disokong oleh lonjakan harga minyak mentah dunia.

Ringgit setakat pukul 3.28 petang mencapai paras tertinggi berbanding US dolar di paras RM3.9958. Apa yang menambah keyakinan pasaran adalah Ringgit berjaya menembusi paras signifikan RM4.00 bagi setiap USD.

“Terdapat beberapa faktor yang menyokong Ringgit dan pemangkin terbaru adalah harga minyak mentah, di samping kelemahan US dolar itu sendiri,” kata Vishnu Varathan, ketua penganalisis ekonomi di Bank Mizuho.

“Malaysia adalah antara negara yang mendapat manfaat daripada minyak mentah.”

Bulan lalu, Bank Dunia menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2017 kepada 5.8% yang disokong oleh permintaan domestik dan juga pengukuhan pasaran pekerjaan.

Antara lain yang menyokong kenaikan Ringgit hari ini adalah laporan data eksport Malaysia yang memberangsangkan. Pertumbuhan eksport sedikit perlahan pada November tetapi melebihi jangkaan pasaran didorong oleh eksport produk elektrik dan elektronik.

Eksport negara ketiga terbesar Asia Tenggara ini meningkat 14.4% berbanding jangkaan 13.8%. Oktober lalu Malaysia mencatat kenaikan eksport sebanyak 18.9%.

Produk elektrik dan elektronik mewakili 38% daripada keseluruhan eksport negara meningkat 21% berbanding tahun lalu. Data menunjukkan ekonomi semakin berkembang yang dibantu oleh lonjakan eksport melebihi dari jangkaan.

Tambahan pula Bank Negara sebelum ini menunjukkan isyarat positif terhadap polisi monetari dengan memberikan panduan yang hawkish (cenderung kepada kenaikan kadar faedah) pada 2018.

Langgan Newsletter dari Moshed.com
Lanngan segera untuk mendapatkan kemaskini terkini dan "special offer" yang akan terus dihantar ke e-mel anda.
Anda boleh berhenti melanggan bila-bila masa