Risiko Brexit Meningkat Dengan Perletakan Jawatan Menteri David Davis

0 605

Dominic Raab dilaporkan akan menggantikan David Davis sebagai Menteri Brexit yang baru. Davis meletak jawatan sebagai ketua perunding Brexit pada Isnin berikutan tidak setuju dengan perancangan Brexit oleh Perdana Menteri Theresa May.

“Ratu England telah menerima cadangan, Dominic Raab sebagai Menteri Brexit yang akan menguruskan keluarnya Britain dari Kesatuan Eropah,” demikian kenyataan rasmi dari pejabat Perdana Menteri seperti yang dilaporkan oleh Reuters pada Isnin.

Raab adalah Menteri Perumahan Britain sebelum dilantik sebagai Menteri Brexit yang juga seorang pro-Brexit.

Lantikan Raab ini dibuat beberapa jam selepas Davis mengumumkan perletakan jawatannya. Perletakan jawatan ini diumumkan selepas dua hari setelah May meminta kabinetnya untuk menjalinkan hubungan dagang seerat mungkin dengan Kesatuan Eropah.

Davis adalah salah seorang daripada kabinet Theresa May yang bersifat skeptikal terhadap Eropah dan juga penyokong kuat kepada Brexit semasa referendum tahun 2016. Ini bertentangan dengan Theresa May yang menyokong kepada Bremain iaitu Britain kekal di dalam Kesatuan Eropah.

Kebimbangan Perniagaan di UK

Wakil daripada perniagaan British telah memberi tekanan supaya perjanjian dengan Kesatuan Eropah (EU) mengekalkan status quo terutamanya dalam soal ‘kebebasan cukai’ dan mengekalkan undang-undang dalam perdagangan.

Beberapa syarikat besar Eropah iaitu, Airbus, BMW, dan Philips telah mengatakan mereka berkemungkinan terpaksa meninggalkan UK di mana keadaan ini akan menghapuskan ribuan pekerjaan sedia ada.

Kegagalan dalam mendapatkan perjanjian dengan EU sebelum Mac 2019 akan menyebabkan berlakunya situasi ‘Hard-Brexit’ yang akan memburukkan hubungan UK dengan rakan dagang terbesarnya. UK tidak lagi akan mendapat keistimewaan seperti kebebasan cukai dan akses mudah ke pasaran tunggal Eropah.

EU tidak akan membiarkan negara luar daripada Kesatuan mendapat faedah seperti apa yang dinikmati oleh ahli-ahlinya. Beberapa syarikat besar Britain telah memberi amaran kepada Theresa May bahawa beliau perlu mendapatkan perjanjian atau berhadapan dengan kesan buruk terhadap ekonomi UK.

Pilihanraya Sekali Lagi?

Kewibawaan Theresa May sebagai Perdana Menteri Britain mulai diragui apabila beliau mengadakan pilihanraya mengejut pada tahun lalu yang bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan Parti Konservatif di Parlimen UK.

Namun, hasil pilihanraya menunjukkan Parti Konservatif kehilangan majoriti. Keputusan menunjukkan Konservatif mendapat 318 kerusi berbanding 326 yang diperlukan untuk majoriti mudah di mana Parti Buruh pula mendapat 261 kerusi. Jika bukan disebabkan oleh sokongan parti-parti kecil, sudah tentu May gagal membentuk kerajaan.

Kerajaan ketika ini hanya mempunyai sedikit majoriti berbanding pembangkang dan mujurlah Parti DUP (Northern Irish Democratic Union Party) menyokong Konservatif. Kemungkinan pilihanraya umum sekali lagi boleh berlaku jika May kalah dalam undi tidak percaya di House of Commons.

Nak Tahu Tentang Forex, Saham dan Pasaran Kewangan?
Sertai bersama lebih 20,000 subscriber VIP yang menerima tips-tips premium tentang forex trading dan pasaran kewangan setiap minggu.
Anda boleh berhenti melanggan bila-bila masa