US Dolar Mengukuh Berbanding Majoriti Matawang Utama Kecuali Yen

0 332

Pasaran saham Amerika Syarikat meneruskan pengukuhannya pada 2018, dengan emas melemah sejak Selasa dan US dolar mengukuh berikutan pelabur mengalihkan fokus mereka kepada data ekonomi, tawaran pekerjaan dan hasil bon AS.

Jabatan Buruh pada Selasa telah mengeluarkan data tawaran pekerjaan (JOLTS) yang menunjukkan jumlah tawaran 5.9 juta pekerjaan kurang berbanding jangkaan 6.05 juta.

Sebelum ini dua orang daripada ahli FOMC yang mengundi penetapan polisi Fed menyokong kenaikan kadar faedah yang pantas. Fed Williams dan Fed Mester masing-masing menyokong kenaikan kadar faedah sebanyak tiga dan empat kali pada tahun ini.

Hasil-bon kerajaan AS meningkat pada Selasa yang mana telah menyokong US dolar. Hasil bon 10 tahun AS kini berada di sekitar 2.548%, manakala bon 30 tahun naik ke paras 2.886%.

Neel Kashkari iaitu Presiden Fed cawangan Minneapolis berucap semalam dan pasaran tidak banyak memberi reaksi kepada apa yang diperkatakannya memandangkan beliau tidak lagi mengundi dalam penetapan polisi monetari Fed tahun ini.

Kashkari seperti biasa mengatakan Federal Reserve perlu mengekalkan kadar faedah di paras rendah supaya kadar gaji dan inflasi boleh meningkat.

“Inflasi adalah rendah, pertumbuhan gaji juga rendah, jadi saya menyokong kadar faedah rendah supaya kadar gaji meningkat dan menolak inflasi ke paras sasaran 2%,” kata Kashkari. Sememangnya Kashkari adalah seorang yang ‘dovish‘ dan beberapa kali tidak mengundi kenaikan kadar faedah Fed tahun lalu.

Pengukuhan US dolar jelas dilihat dalam pasangan matawang EUR/USD, GBP/USD, USD/CHF dan emas sejak Isnin. Namun, greenback kekal lemah berbanding Yen dengan spekulasi BoJ berkemungkinan mengurangkan rangsangan monetari pada tahun ini.

Bank of Japan (BoJ) pada Selasa mengumumkan pengurangan amaun pembelian bon jangka panjang kerajaan Jepun.

Langgan Newsletter dari Moshed.com
Lanngan segera untuk mendapatkan kemaskini terkini dan "special offer" yang akan terus dihantar ke e-mel anda.
Anda boleh berhenti melanggan bila-bila masa